Atparanandam Ananda Krishnan
(lahir 1938) merupakan usahawan yang kedua terkaya di Malaysia serta yang
ke-138 di dunia, dengan nilai bersih yang dianggarkan sebanyak AS$4 bilion.
Beliau terlibat dalam pelbagai bidang perniagaan, termasuknya minyak,
penternakan kuda bibit (di Australia), perjudian, studio kartun Hollywood,
telekomunikasi, multimedia,perkapalan, tenaga, dan harta tanah.
Syarikat-syarikatnya beroperasi di kebanyakan tempat di Asia Tenggara. Pada
tahun 1985, bersama Bob Geldof dari Britain, Ananda menjadi penaja konsert Band
Aid yang sulung dan yang memainkan peranan penting dalam pengenalan Live Aid ke
Asia Beliau tidak suka menonjolkan diri dan sentiasa memeliharakan profil yang
rendah, akan tetapi kegiatan-kegiatan perniagaannya yang amat berjaya selalu
menyebabkannya menjadi perhatian ramai.
Dilahirkan di Brickfields yang
merupakan "India Kecil" kepada Kuala Lumpur, Ananda ialah anak kepada
sebuah keluarga Tamil daripada Sri Lanka. Sewaktu kecil, beliau seorang
kanak-kanak gagap. Ananda belajar di Sekolah Tamil Vivekananda di Kuala Lumpur
dan kemudiannya di Institut Victoria, Kuala Lumpur. Beliau memperoleh ijazah
Sarjana Mudanya (Kepujian) daripada Universiti Melbourne, Australia dan Sarjana
Pentadbiran Perniagaan daripada Universiti Harvard, Amerika Syarikat pada tahun
1964. Ananda pernah berkahwin dengan seorang puteri Thailand sewaktu muda lagi.
Bagi kebanyakan rakyat Malaysia, iaitu tempat asalnya, latar belakang Ananda
sebelum tahun 1992 merupakan satu misteri. Banyak cerita mengenai kejayaannya
melalui kegiatan-kegiatan perjudiannya di Australia dan sebagai pembuat tawaran
perniagaan (dealmaker) kini telah pun disiarkan di media tempatan dan asing.
Salah satu suku daripada kekayaannya datangnya daripada usaha perjudian (loteri,
pertaruhan perlumbaan kuda). Usaha Ananda yang sulung adalah dalam bidang
perdagangan minyak. Sebelum 1992, Ananda merupakan seorang pembuat tawaran
perniagaan dalam urus niaga minyak mentah yang mempunyai hubungan rapat dengan
golongan pemimpin negara dan pegawai korporat industri petroleum di Asia.
Beliau juga amat berjaya dalam pelbagai bidang perniagaan, termasuknya
spekulasi pasaran minyak di Amerika Syarikat.
Pada masa Tengku Razaleigh
Hamzah berada di kemuncak kekuasaannya sebagai Menteri Kewangan Malaysia,
Anandalah yang merupakan rakan yang sentiasa menghadiri perjumpaan-perjumpaan,
baik sosial mahupun rasmi, bersama-samanya. Dan apabila Tengku Razaleigh
terlibat dalam perunding-perundingan yang penting, Anandalah yang menjadi orang
perantaraan. Tengku Razaleigh adalah yang memperkenalkan Ananda kepada Dr
Mahathir dalam tahun 1970-an. Tetapi Ananda sendiri yang telah berusaha memupuk
perhubungan beliau dengan Dr Mahathir. Walaupun hubungannya dengan Dr Mahathir
semakin rapat, beliau mengekalkan hubungannya dengan Tengku Razaleigh. Setelah
Tengku Razaleigh meninggalkan UMNO dan menubuhkan Semangat 46, Ananda telah
memainkan peranan yang utama dalam pemulihan semula hubungannya dengan Dr
Mahathir yang berakhir dengan pengembalian Tengku Razaleigh ke UMNO pada tahun
1996.
Oleh kerana hubungannya yang
rapat dengan Dr Mahathir, Ananda sentiasa dianggap sebagai kroninya. Pada akhir
tahun 1991, Ananda telah mengambil alih Industri Lumba Kuda Malaysia yang
terletaknya di tengah-tengah bandar raya Kuala Lumpur yang merupakan kawasan
harta tanah yang termahal di Malaysia (dahulunya Padang Lumba Kuda Selangor). Beliau
juga meraih keuntungan daripada dasar penswastaan Malaysia. Pada tahun 1993,
sebuah syarikat yang dikuasai Ananda telah mengambil alih satu pertiga ekuiti
dalam syarikat Powertek. Adalah Ananda yang meyakinkan Dr Mahathir terhadap
pembinaan Menara Berkembar Petronas yang kini merupakan bangunan berkembar
tertinggi di dunia, dan yang dimilik sebahagiannya oleh beliau.
Ananda membeli 46% daripada
ekuiti Maxis daripada Telekom British, AT&T, Orange S.A., Belgacom and
América Móvil dengan harga sebanyak AS$1,180 juta dan menaikkan hak miliknya
menjadi 70%. Maxis ialah syarikat telefon bimbit yang terbesar di Malaysia,
dengan jumlah pengguna melebihi 8 juta, dan bahagian pasaran tempatan melebihi
40%. Ananda juga merupakan ketua Astro All Asia Networks Plc yang merupakan
rangkaian televisyen berbayar yang sulung di Malaysia. Beliau juga mempunyai
rangkaian pawagam multipleks yang memegang lebih daripada 800 judul filem,
serta memiliki sebahagian daripada TVB.com (cabang interaktif kepada penyiar
utama di Hong Kong) dan arkib filem Shaw Brothers. Pada tahun 1996, Ananda
melancarkan satelit perhubungan Malaysia yang sulung, berikut kemudian dengan
satelit yang kedua, melalui syarikatnya Binariang Satellites Systems Sdn Bhd.
Bagaimanapun, kegawatan ekonomi yang melanda negara-negara Asia Tenggara
mengurangkan keuntungan syarikat itu dan memaksanya memberhentikan sejumlah
pekerja-pekerja dan menangguhkan beberapa projek multimedianya. Ananda kini
merupakan Rupert Murdoch Asia Tenggara. Apa yang membezakan Ananda daripada
kroni-kroni yang lain ialah beliau telah berjaya mengumpulkan harta kekayaan
berjuta-juta ringgit melalui usahanya di luar negara sebelum mengalihkan
pandangan ke dalam negara.
Casino Tycoon - MapyRO
BalasPadamCasino 군포 출장안마 Tycoon 경산 출장마사지 is a casino in Las Vegas. The casino is located in the middle 인천광역 출장샵 of Downtown Las Vegas Boulevard and 여수 출장마사지 is owned by The Mirage Group and Rating: 4.5 창원 출장샵 · 2 votes